JDT lepaskan pemain kebangsaan lebih awal

JDT lepaskan pemain kebangsaan lebih awal

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi dan Matthew Davies antara tonggak yang di panggil menyertai kem latihan Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia untuk melepaskan pemainnya lebih awal bagi memberi laluan menjalani latihan bersama Harimau Malaya bagi menghadapi aksi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.

Semua pasukan diminta untuk melepaskan pemain masing-masing bagi menjalani latihan bersama Harimau Malaya pada 18 Mac namun JDT bersetuju untuk membenarkan pemainnya menyertai kem skuad kebangsaan lebih awal iaitu pada 15 Mac.

“Kebanyakan skuad kebangsaan di seluruh dunia hanya memanggil pemain mereka semasa jendela perlawanan yang disediakan oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), tetapi JDT telah bersetuju untuk menggunakan budi bicara kami dalam melepaskan pemain tujuh hari sebelum perlawanan pertama.

“Sebagai contoh, jendela FIFA seterusnya adalah dari 18 Mac hingga 26 Mac. Malaysia dijadualkan bermain kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada 22 Mac, dan JDT akan melepaskan pemain kami seawal 15 Mac. 

“Dalam peraturan bola sepak, kelab hanya perlu melepaskan pemain pada 18 Mac,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon memanggil sembilan pemain JDT iaitu Shahrul Saad, Syamer Kutty Abba, Junior Eldstal Romel Morales, Ahmad Syihan Hazmi, Matt Davies, La’Vere Corbin Ong, Endrick dos Santos dan Arif Aiman Hanapi.

Kata Edwards lagi, pemainnya tidak berdepan sebarang masalah untuk membentuk keserasian bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Oman nanti.

“Memandangkan sebahagian besar pemain utama skuad Malaysia adalah daripada JDT, kami percaya pemain JDT yang dipanggil ke pasukan kebangsaan akan dapat membina persefahaman dan kecergasan melalui latihan berintensiti tinggi dan kemudahan fasiliti bertaraf dunia kami di Pusat Latihan JDT,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×