PETALING JAYA: Impian pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 lebur selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sah menggugurkan namanya daripada senarai pemain ke Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024.
Pemain berusia 24 tahun itu ketika ini berada di ranking ke-17 dalam kedudukan Race to Paris dan beliau tidak akan layak ke acara temasya terbesar dunia itu kerana tidak berakdi di BAC 2024 yang menjadi medan terakhir yang menawarkan mata ke Olimpik Paris.
Pengarah kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berkata, Tze Yong semakin pulih selepas pembedahan tulang belakang, namun masih belum bersedia untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
“Keutamaan kami adalah kesihatan dan kesejahteraan pemain kami. Pemulihan Tze Yong dan keadaan keseluruhannya turut menjadi kebimbangan buat kami juga
“Kami akan memantau dengan teliti perkembangan dan keadaannya dalam beberapa minggu akan datang. Tze Yong mempunyai kerjaya yang menjanjikan di hadapan, adalah penting untuk memberi tumpuan kepada pemulihan sepenuhnya.
“Walaupun ketiadaannya dalam BAC akan menyebabkan dia keluar dari Paris, dia masih muda dan akan mempunyai peluang untuk bertanding di Olimpik akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Tze Yong mengakui beliau kecewa dengan perjalanan kariernya buat masa ini kerana hanya berjaya bermain satu perlawanan penuh.
“Saya kecewa, tetapi saya faham kesihatan dan pemulihan saya diutamakan.
“Saya berterima kasih atas sokongan pasukan perubatan dan jurulatih saya, dan saya komited untuk memberi tumpuan kepada pemulihan saya untuk kembali lebih kuat.
“Saya berharap dapat kembali ke gelanggang secepat mungkin dan menyumbang kepada pasukan pada masa hadapan,” kata Tze Yong.
Dengan kegagalan untuk menyertai Sukan Olimpik Paris, dijangka nama Tze Yong juga akan digugurkan daripada program Road to Gold (RTG) dalam masa terdekat.
Berdasarkan situasi itu, pemain No.10 dunia, Lee Zii Jia akan menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.-UTUSAN










