PETALING JAYA: Bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mendedahkan dia sebenarnya sudah lama memasang impian untuk menjadi jurulatih di luar negara.
Oleh sebab itu katanya, tawaran yang diterima dari kelab liga Thailand, Police Tero sukar untuk ditolak biarpun terpaksa membuat keputusan sukar meninggalkan Selangor FC.
Kelmarin, Cheng Hoe telah diperkenalkan selaku ketua jurulatih Police Tero bagi menggantikan posisi legenda Thailand, Worrawoot Srimaka yang kembali diberi peranan selaku pegawai teknikal kelab.
Jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan berhijrah daripada Selangor FC, tetapi keputusan terpaksa dibuat demi kebaikan serta masa depan kariernya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, pihak pengurusan dan barisan pemain yang memberikan sokongan penuh kepada saya sejak bersama pasukan pada penghujung 2022.
“Namun, tawaran yang diberikan oleh Police Tero ini sukar ditolak kerana seperti yang telah saya katakan sebelum ini, impian saya adalah untuk membimbing pasukan luar negara dan saya tidak akan fikir dua kali.
“Saya harap penghijrahan ini dapat membuka pintu buat jurulatih tempatan lain untuk mencuba nasib di luar negara,” katanya.
Sebagai rekod, sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe berjaya membantu Selangor FC menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan juga naib juara Liga Super Malaysia 2023.
Pencapaian menjadi naib juara Liga Super musim lalu membolehkan Selangor FC layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025.-UTUSAN










