Aifa dambakan kemudahan RTG

Aifa dambakan kemudahan RTG

AIFA Azman (kiri) dan adiknya, Aira Azman akan bertembung di pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Australia di Sydney, Australia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan yang ditawarkan dalam program Road To Gold (RTG) amat diperlukan pemain skuasy kebangsaan terutama ketika terpaksa terbang bersendirian menyertai kejohanan di luar negara, kata pemain muda Malaysia, Aifa Azman.

   Pemain berusia 22 tahun itu yang baru sahaja diserapkan dalam Program Fast Track RTG sebagai persediaan ke Sukan Olimpik 2028 (LA 2028) di Los Angeles, Amerika Syarikat berkata, perkhidmatan tambahan yang disediakan Institut Sukan Negara (ISN) diyakini mampu membantu meningkatkan prestasi semasanya.

   “Saya dibelenggu kecederaan lutut kanan sejak tahun lepas dan masalah itu mengganggu prestasi saya, jadi, dengan adanya sokongan tambahan ISN saya memang menantikan servis tersebut.

   “Perkhidmatan fisio antara yang saya harapkan, dalam setiap kejohanan memang ada disediakan, tetapi lebih elok jika pakar fisio tersebut datang daripada ISN sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) di sini, kelmarin.

   Menurut pemenang pingat emas dalam acara berpasukan Sukan Asia di Hangzhou, China tahun lalu itu, terbang bersendirian tanpa jurulatih bukanlah mudah buatnya, tetapi, itulah hakikat yang terpaksa dilaluinya sebagai pemain skuasy profesional.

   Aifa yang turut disertai adiknya, Aira yang sekaligus muncul adik beradik pertama dalam Program Fast Track RTG menjelaskan, tempoh empat tahun untuk persediaan LA 2028 bukanlah satu jangka masa yang panjang sebenarnya.

   “Tempoh empat tahun itu singkat sebenarnya, kedengaran macam lama, tetapi tidak, dalam jangka waktu itu saya perlu menaikkan ranking saya yang kini jatuh ke tangga ke-37 dunia gara-gara kecederaan lutut yang saya alami,” ujarnya.

   Meletakkan sasaran untuk kembali berada di ranking ke-21 dunia sebelum mengintai kedudukan yang jauh lebih baik, Aifa amat berharap, kecederaan lutut tidak lagi mengganggu persembahannya.

   “Saya terpaksa menarik diri pada Terbuka Singapura, hujung tahun lalu, kerana masalah lutut dan sejak November saya tidak sertai pertandingan cuma pada Terbuka Windy City di Amerika Syarikat awal tahun ini, tetapi, kejohanan-kejohanan lain tak dapat saya sertai kerana kurang cergas,” katanya.

   Justeru, Aifa mengakui, tahun ini, merupakan harapan terbesarnya untuk memperbaiki kedudukan rankingnya dan pada 17 Mac ini dia bakal terbang ke Australia bagi menyertai Terbuka Australia di Sydney yang bermula 22 Mac.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×