PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menamatkan penantian 21 tahun untuk bergelar juara liga selepas membenam pasukan tercorot, JM Antsbees dengan keputusan 22-1 dalam aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.
Pesta jaringan bermula seawal minit kedua menerusi Firhan Ashaari, dan kemudian gawang JM Antsbees dibedil bertalu talu.
Pemain import, Jang Jong Hyun meledak keseluruhan sebanyak lima gol dalam perlawanan ini, manakala pendahulu penjaring terbanyak, Azraai Aizad Abu Kamal pula unggul dengan tujuh gol.
Lain-lain penjaring untuk TNB dalam perlawanan ini Syed Syafiq Syed Cholan pula mengumpul empat gol, Danish Aiman Khairul Anuar, Nik Aiman Nik Rozemi, Najib Abu Hassan yang masing-masing menjaringkan satu gol serta gol terakhir TNB disumbangkan Firhan sekali lagi.
Gol tunggal JM Antbees dijaringkan Moon Uju.
Dalam satu lagi perlawanan, seteru TNB, Pasukan Hoki Terengganu (THT) membenam Maybank 4-3.
Biarpun TNB dan THT berkongsi 26 mata, namun jumlah jaringan memberi kelebihan buat TNB untuk dinobatkan sebagai juara, sekaligus meraih gelaran kedua mereka untuk musim ini selepas Piala Sumbangsih.
TNB berpeluang untuk menambah satu lagi kejuaraan apabila akan berentap dengan Kuala Lumpur City menjelang aksi suku Piala TNB yang akan berlangsung pada Jumaat.










