Nurinsafi buat THT gigit jari, TNB kembali miliki kelebihan

Nurinsafi buat THT gigit jari, TNB kembali miliki kelebihan

Pasukan Hoki Terengganu (THT) terlepas peluang untuk melebarkan jurang dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 selepas diikat Nurinsafi Sporting 4-4 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang hari ini. (FOTO: ihsan MHC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Nurinsafi Sporting melakar kejutan apabila mengikat penyandang juara Liga Hoki Malaysia (MHL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) dengan keputusan 4-4 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang hari ini .

THT yang pada awalnya dilihat mempunyai kelebihan muncul juara menerima tamparan awal apabila Syawal Najmi Amiruddin meledak gol pertama tuan rumah pada minit kelapan.

Abdul Khaliq Hamirin kembali menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.

Berselang empat minit kemudian, Faizal Saari menggandakan kedudukan buat THT menerusi jaringan padang.

Memasuki suku ketiga permainan, Veerannagouda Patil menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-36.

Bagaimanapun, THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom membalas dengan tambahan dua lagi jaringan, masing-masing menerusi Faizal dan Ismail pada minit ke 41 dan 47.

Nurinsafi tidak panik dan kembali menyamakan semula kedudukan dalam tempoh tujuh minit terakhir perlawanan, menerusi jaringan Syamal dan Joginder Singh untuk menutup perlawanan dengan keputusan 4-4.

Pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nik Aiman Rozemi cuba melepasi kawalan pemain UiTM HA-KPT dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. (FOTO: ihsan MHC)

Keputusan itu menghidupkan semula peluang Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meraih gelaran juara liga selepas membenam UiTM HA-KPT 5-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Ketika ini, TNB, THT serta Maybank terikat dengan 23 mata namun kelebihan jaringan memihak kepada anak buah Nor Saiful Zaini untuk berada di puncak liga.

Perlawanan terakhir liga pada Rabu ini bakal menentukan juara dengan TNB akan berentap JM Antsbees, manakala THT akan membuat perhitungan dengan Maybank.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN