MPFL: Terengganu optimis mampu beri saingan  - Utusan Malaysia

MPFL: Terengganu optimis mampu beri saingan 

HISHAMUDDIN Abdul Karim (dua dari kiri) melihat jersi yang akan digunakan pasukan Terengganu dalam cabaran MPFL 2024 di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu optimis mampu memberi saingan dalam Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2024 yang membuka tirainya esok, meskipun dibarisi 100 peratus pemain tempatan.

Jurulatihnya, Mohd. Rozairi Ahmad, berkata, ketiadaan awang import tidak menjejaskan motivasi Terengganu yang menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun lalu.

Menurut Mohd. Rozairi, barisan pemain kali ini juga berwajah baharu dengan hanya lapan tonggak daripada 2023 dikekalkan manakala 11 lagi pemain muda bawah 21 tahun.

Ujarnya, situasi itu bagaimanapun tidak menggusarkan kem Sang Penyu yang turut berdepan persiapan singkat menjelang sepak mula bertemu KL City FC di laman sendiri pada Sabtu (esok).

“Daripada lapan pemain senior itu, dua adalah muka baharu yang memperkuatkan pasukan iaitu Ali Mat Amin daripada Pahang Rangers FC dan Akram Mukhriz daripada KL City FC.

“Seramai 11 pemain lagi adalah ‘ubi’ muda skuad Sukan Malaysia (Sukma) dengan kami turut menjadikan MPFL sebagai pendedahan terbaik menghadapi temasya dwi-tahunan itu pada Ogos.

“Namun itu tidak bermaksud Terengganu pasukan belasahan sebaliknya saya yakin mampu memberi cabaran dalam Divisyen 1,” katanya pada majlis memperkenalkan pasukan di sebuah hotel di sini, semalam.

Tahun lalu Terengganu yang diperkuatkan pemain muda Thailand, Supakorn Sangom dan Faris Thaiya, menamatkan Piala Futsal Malaysia di tempat keempat selepas tumpas di suku akhir peringkat kalah mati liga.

Mengulas lanjut persediaan bertemu KL City FC, Mohd. Rozairi berkata, kelebihan tempat sendiri harus dimanfaatkan Terengganu untuk memulakan kempen MPFL dengan langkah kanan.

Ujarnya, meskipun melakukan persiapan singkat sejak tiga minggu lalu dan menjadi pasukan tunggal tanpa awang import tahun ini, Terengganu seharusnya tidak berdepan masalah mengutip mata penuh.

“Kami tidak begitu pasti kekuatan KL City kali ini terutama kualiti pemain import mereka tetapi berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, saya optimis Terengganu boleh melakar kemenangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN