SHAH ALAM: Hajat Malaysia untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia tidak menjadi kenyataan selepas terpaksa akur kepada China menerusi kekalahan 0-3 di Pusat Konvensyen Setia City, dekat sini, hari ini.
Dalam perlawanan akhir itu, skuad lelaki negara yang tempang ekoran kehilangan khidmat dua tonggak perseorangan, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong yang berdepan isu kesihatan serta kecederaan, kehilangan mata seawal aksi perseorangan pertama.
Pemain No. 38 dunia, Leong Jun Hao yang mengisi kekosongan tempat ditinggalkan Zii Jia berusaha keras untuk menyaingi rentak pemain China yang menghuni ranking No. 16 dunia, Weng Hong Yan, namun, dia gagal berbuat demikian apabila kecundang 19-21, 17-21.
Jun Hao ketika ditemui pemberita selepas perlawanan mengakui, bebanan yang terpaksa dia galas secara tiba-tiba itu memang agak sukar untuknya.
“Saya memang tahu kena main, tetapi, tak pula saya tahu kena turun sebagai perseorangan pertama.
“Tetapi, saya sentiasa bersedia untuk pasukan kerana rakan sepasukan saya ada yang sakit dan cedera,” katanya yang tidak sempat bertemu Zii Jia sebelum masuk ke dalam gelanggang.
Pemain berusia 24 tahun itu mengakui kesilapan yang dilakukan ketika kutipan mata berada di kedudukan genting menjadi salah satu penyumbang kepada kekalahannya.
Selepas kekalahan Jun Hao, beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang membawa misi untuk mengikat China tidak mampu berbuat demikian apabila mereka tunduk kepada pasangan ke-90 dunia, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 16-21, 21-16, 21-23.
Ketinggalan 0-2, pemain muda Malaysia, Eogene Ewe yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-19, hari ini, meneruskan langkah kiri skuad kebangsaan apabila dia tunduk straight set kepada Lei Lan Xi 10-21, 14-21.
Keciciran 0-3, bermakna beregu kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan pemain bidan terjun untuk perseorangan, Muhammad Haikal Nazri tidak perlu masuk ke gelanggang bagi melengkapkan saingan.
Selain China dan Malaysia yang dinobatkan selaku juara serta naib juara, Korea Selatan dan Jepun berkongsi tempat di tangga ketiga.
Sementara itu, dalam aksi berpasukan wanita, India mencipta sejarah apabila kali pertama muncul juara berpasukan Asia selepas menewaskan Thailand 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung lebih awal.
Tiga mata kemenangan India dikutip menerusi perseorangan wanita, Pusarla Sindhu dan Anmol Kharb serta beregu, Treesa Jolly-Pullela Gopichand.
Kekalahan Thailand menyaksikan mereka sekadar muncul sebagai naib juara, manakala, Indonesia dan Jepun masing-masing membawa pulang pingat gangsa. – UTUSAN










