IPOH: Kemelut Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (Pafa) susulan pembatalan dan pembubaran persatuan itu pada Jun tahun lepas dinoktahkan selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan PAFA untuk mengekalkan statusnya sebagai sebuah entiti.
Presiden Pafa, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan seluruh jawatankuasa eksekutifnya bersyukur dengan ‘pembebasan’ persatuan itu daripada belenggu yang mencengkam pertubuhan berusia lebih 100 tahun itu.
“Saya bagi pihak Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pafa dan rakyat negeri ini ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan di atas kebijaksanaan beliau menyelesaikan isu kepimpinan Pafa,” katanya.
Terdahulu, Azhar bersama Timbalan Presiden Pafa, Datuk Sham Mat Sahat mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Suhardi Alia di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Azhar, pihaknya menerima khabar gembira itu menerusi surat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan bertarikh 9 Februari lalu.
“Menteri Belia dan Sukan melalui suratnya yang bertarikh 8 Februari 2024 menerima rayuan dan mengekalkan pendaftaran Pafa di bawah Seksyen 21(1) Aka Pembangunan Sukan 1997 Akta 576 ) dan ia muktamad,” katanya.
Azhar juga berterima kasih kepada Jawatankuasa Bertindak (Ad-Hoc) yang di lantik oleh Menteri, yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang bertindak sebagai moderator kepada proses rayuan tersebut di atas segala khidmat dan bantuan yang diberikan.
Menurutnya, beliau akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pafa dalam masa terdekat berfokus kepada hal ehwal tadbir urus dan tatakelola Pafa yang perlu diselesaikan.
“Kita juga merancang dan menyusun atur penstrukturan semula dalam usaha untuk mengembalikan imej dan kredibiliti Pafa,” katanya.-UTUSAN










