Heung-min mohon maaf Korea Selatan tewas

Heung-min mohon maaf Korea Selatan tewas

PEMAIN pertahanan Jordan, Yazan al-Arab mengasak Son Heung-min dalam aksi separuh akhir Piala Asia 2023 di Doha, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Tonggak Korea Selatan, Son Heung-min berkata, hatinya hancur apabila gagal membantu negaranya layak ke perlawanan akhir Piala Asia 2023 selepas tewas 2-0 kepada Jordan dalam aksi separuh akhir di sini, kelmarin.

Sambil memohon maaf, Heung-min berkata, pemain Korea Selatan turun menentang Jordan dalam keadaan gementar dan mengelak kesilapan.

Korea Selatan memburu kemenangan pertama sejak 1960, namun dalam aksi kelmarin mereka gagal menembusi gawang Jordan.

“Sangat mengecewakan. Hati saya hancur. Jordan mengagumkan sepanjang kejohanan ini. Mereka berhak menang. Bagi kami perlawanan ini sangat mengecewakan,” katanya.

Korea Selatan hampir ter­singkir di peringkat kumpulan di tangan Jordan tetapi bernasib baik menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Namun, pada kali ini, mereka tidak dapat mengulanginya apabila Yazan Al-Naimat dan Mousa Al-Tamari meletakkan Jordan selesa pada babak kedua ketika anak-anak buah Jurgen Klinsmann buntu mencari gol.

Kemenangan itu membolehkan Jordan mara ke final Piala Asia buat pertama kali.

“Kami belajar daripada kesilapan ini. Kami perlu pandang ke depan dan tiada masa untuk menyesal. Saya akan pulang semula beraksi bersama kelab (Tottenham) selepas ini sehingga akhir musim,” katanya.

Bintang Korea Selatan itu juga memohon maaf kepada rakyatnya kerana gagal membawa negara itu ke perlawanan akhir. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×