Hakim Danish sertai SIC Racing-Msi selaku pelumba JuniorGP

Hakim Danish sertai SIC Racing-Msi selaku pelumba JuniorGP

ZULFAHMI (kiri) bersama Hakim Danish pada majlis memperkenalkan pelumba SIC Racing-MSi di Sepanyol, hari ini. - Ihsan ZK Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, hari ini, diumumkan secara rasmi akan mewakili pasukan SIC Racing-MSi untuk Kejuaraan Motosikal JuniorGP bagi musim 2024.

Anak muda berusia 16 tahun itu berjanji akan memberikan aksi terbaik pada penampilan sulungnya dalam perlumbaan tersebut yang akan bermula 21 April depan di Itali.

“Membuat penampilan pertama saya dalam kategori JuniorGP musim ini adalah impian yang menjadi kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat berterima kasih kepada MT Helmets-MSi dan ZK Racing kerana memberi saya peluang ini,” katanya pada majlis memperkenalkan pelumba SIC Racing-MSi di Sepanyol, hari ini.

Pada musim lalu, Hakim Danish buat kali pertama beraksi pada European Talent Cup (ETC) dan Red Bull MotoGP Rookies selaku pelumba tetap.

Berjaya mencatat keputusan podium dalam aksi pembukaan kedua-dua kejuaraan itu, Hakim Danish menutup aksinya dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies di kedudukan ke-12 keseluruhan setelah mengumpul 70 mata.

Anak kelahiran Terengganu itu yang muncul selaku pelumba pertama Malaysia menjuarai Asia Talent Cup (ATC), dua tahun lalu, berada di kedudukan ke-17 keseluruhan dengan 24 mata untuk perlumbaan ETC, musim lepas.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing-MSi, Zulfahmi Khairuddin berkata, menubuhkan pasukan bersama MT di FIM JuniorGP besama Hakim Danish selaku pelumba dan juga beberapa krew dari Malaysia merupakan impian yang menjadi realiti.

“Ini adalah struktur impian untuk ZK Racing pergi ke peringkat seterusnya dengan pelumba Malaysia.

“Saya yakin dengan pengalaman Hakim Danish berlumba di Eropah, tahun ini merupakan tahun yang sesuai untuk dia di naikkan ke saingan FIM JuniorGP.

“Terima kasih kepada pengurus pasukan MT Helmets, Jordi Gatell kerana mempercayai projek ini,” ujarnya.

Menurut bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu, Hakim Danish merupakan seorang pelumba berbakat besar dan dia cukup laju ketika memacu jenteranya.

“Namun, saya percaya bakatnya itu masih perlu dibangunkan lagi dengan sebaik mungkin dan saya yakin MT Helmets mampu membantu Hakim Danish.

“Dia masih muda dan dia juga sangat laju, jadi, saya berharap Hakim Danish berupaya menempatkan dirinya dalam kelompok hadapan bagi aksi sulungnya pada JuniorGP,” jelasnya.

Zulfahmi turut melahirkan keyakinannya pelumba bimbingannya itu memiliki potensi untuk mencatat keputusan podium jika diberi peluang sewajarnya.

Selain Zulfahmi sebagai pengurus, SIC Racing-MSi turut disertai seorang krew dari Eropah dan tiga orang lagi dari Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN