Eastcoast Rallying juara kategori P10 Rally Sprint X-One - Utusan Malaysia

Eastcoast Rallying juara kategori P10 Rally Sprint X-One

MUHAMMAD Syakirin Razaki (kiri) bersama Amir Izham meraikan kejayaan menduduki tempat pertama bagi kategori P10 Rally Sprint X-One di Serdang, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasukan rali profesional, Eastcoast Rallying, muncul juara kategori P10 perlumbaan Rally Sprint X-One di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang, kelmarin.

Pasukan berpengkalan di Kuala Terengganu itu yang diketuai Muhammad Syakirin Razaki selaku pemandu utama dan dibantu jurupandu, Amir Izham, mencatat masa keseluruhan 33 minit 25 saat (s).

Tempat kedua menjadi milik pasukan Magnaz Racing Team dengan catatan masa 00:33:32s manakala pasukan EZZ Machine yang merekodkan masa 00:34:01s, di tempat ketiga.

Lebih membanggakan buat Eastcoast Rallying apabila menduduki kedudukan kedua keseluruhan kategori pacuan dua roda (2WD) sekaligus meraih podium berganda pada perlumbaan dua hari itu.

“Pada saingan hari pertama perlumbaan (Sabtu), kami bermula agak baik dan berjaya memenanginya selepas mengatasi pasukan Marcars Motorsports yang dipandu lagenda rali negara, Karamjit Singh.

“Itu menaikkan semangat kami untuk meneruskan kecemerlangan pada hari kedua meskipun berdepan cabaran cuaca panas terik selain permukaan berturap di Maeps, Serdang.

“Kejayaan ini adalah permulaan baik buat Eastcoast Rallying buat tahun 2024 dan berharap dapat mengekalkan momentum pada perlumbaan akan datang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu jurupandunya, Amir Izham, menyifatkan keserasian kedua-dua mereka menjadi kunci prestasi pasukan dengan jentera Honda Jazz GE itu mampu menyinar kali ini.

Menurutnya, mereka berdepan halangan dari aspek teknikal terutamanya litar berturap yang bukan ‘kebiasaan’ bagi perlumbaan rali sehingga menguji kemampuan pemandu dan jurupandu.

“Saya dan Muhammad Syakirin telah bersama sejak penubuhan pasukan pada 2017 dan sudah memahami peranan masing-masing ketika mengendalikan jentera dalam tekanan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×