SHAH ALAM: Bekas pemilik kelab Kuantan FA serta Marcerra United bakal dipenjara tujuh hari sekiranya tidak melunaskan tunggakan RM 1.5 juta kepada 47 bekas pemain dan pegawai pasukan berkenaan.
Peguam yang mewakili bekas pemain dan pegawai dua pasukan itu, Mohd. Suhail Rahimi Abdul Razak berkata, perintah penahan kepada pemilik yang bergelar ‘Datuk Seri’ itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
“Pada 29 Januari 2024, mahkamah telah memutuskan dimana individu berkenaan perlu dipenjara di Sungai Buloh bermula dari tarikh tangkapan.
“Keputusan pada tarikh itu, mahkamah telah memberi penangguhan dua minggu iaitu sehingga 9 Februari 2024 kepada individu itu sebagai peluang akhir untuk melakukan penyelesaian secara penuh,” katanya.
Pada hujung tahun 2022, bekas pemain dan pegawai menuntut RM 3 juta dan setakat ini individu bergelar Dato Seri itu telah bayar hampir RM600,000 sahaja.
Setelah perundingan antara peguam dan defendan, mereka bersetuju supaya baki akhir yang perlu dibayar hanya sebanyak RM1.5 juta daripada RM2.5 juta susulan individu tersebut bersetuju untuk membayar secara ‘lump sum’.
Suhail turut menambah, tangkapan masih belum dibuat dan akan dibuat dalam masa terdekat ini kerana ianya adalah di bawah bidang kuasa polis.
Menurutnya, penyelesaian masih boleh berlaku walaupun individu terbabit telah dihumban ke penjara jika melakukan pembayaran baki penuh RM1.5 juta kepada dua pasukan itu.
“Saya tidak akan mendedahkan nama bekas pemilik bekas kelab hari ini kerana tangkapan masih belum dibuat.
“Kita meletakkan harapan yang besar, mungkin esok atau lusa ada pembayaran dan kes akan tutup. Namun jika tiada pembayaran dalam masa terdekat ini dia akan dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari,” tambahnya.-UTUSAN







