PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mendapatkan seorang jurulatih baru, Muhammad Miftah dari Indonesia bagi memperkasakan skuad beregu wanita negara.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.
“Miftah pernah bertugas sebagai pembantu kepada Mathias Boe di Persatuan Badminton India.
“Kini dia (Miftah) sudah bergabung dengan BAM dan akan mengendalikan beregu wanita dan telah memulakan tugasnya secara rasmi semalam (Khamis),” jelas Rexy ringkas.
Kemasukan Miftah bakal meringankan beban yang dipikul jurulatih beregu wanita ketika ini, Hoon Thien How sejak Chan Chong Ming meletakkan jawatan pada 2021.
Pelantikan Miftah juga bermakna ketika ini terdapat lima orang jurulatih Indonesia yang mengendalikan kem latihan kebangsaan, termasuk Rexy, Hendrawan (perseorangan lelaki) dan Nova Widianto (beregu campuran) serta Jeffer Rosobin (skuad remaja).










