TMJ buka hati Cools sarung jersi Malaysia

TMJ buka hati Cools sarung jersi Malaysia

DION Cools (tengah) diasak dua pemain Jordan dalam saingan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertahanan kental Harimau Malaya, Dion Cools mengakui Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah individu penting yang memikat hatinya untuk menerima panggilan beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Jelasnya, hanya menerusi satu panggilan telefon daripada Tunku Ismail, dia terus memutuskan untuk menyarung jersi negara di pentas antarabangsa.

“Terdapat satu panggilan telefon buat saya dan tanpa diduga ketika itu ia daripada TMJ sendiri.

“Baginda menjelaskan cuba untuk membangkitkan semula pasukan kebangsaan kerana skuad Harimau Malaya masih berada di kancah bawahan ketika itu.

“Ternyata ia bukanlah satu keputusan yang sukar untuk saya lakukan kerana berniat untuk bermain di Malaysia.

“Saya agak tertarik dengan penjelasan TMJ, maka saat itu juga saya putuskan kepada baginda ‘OK’, sekarang saya akan mewakili Malaysia’,” kata Cools berkongsi detik itu kepada FIFA yang disiarkan di laman rasmi fifa.com.

Cools yang memiliki darah campuran Malaysia-Belgium merekodkan 23 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak 2021.

Sepanjang tempoh itu, dia yang juga kapten pasukan telah meledak empat gol selain membantu pasukan layak ke Piala Asia secara merit buat pertama kalinya selepas 43 tahun.

Dalam perkembangan sama, Cools menyatakan, ketika berusia 24 tahun dia pernah dipanggil mewakili pasukan remaja Belgium, namun agak sukar menembusi skuad senior negara berkenaan.

“Ketika itu, saya selalu memberitahu ibu dan bapa saya bahawa bermain di Belgium bukan mudah dan sukar untuk dilakukan.

“Sudah tentu perbezaan kedudukan antara Belgium dan Malaysia boleh dilihat sendiri seperti Belgium pernah menjadi pasukan nombor satu dunia.

“Namun rasa cinta terhadap bola sepak Malaysia, peminat dan negara sebenarnya lebih mendalam,” katanya.

Tugasan berat menanti Cools dan rakan sepasukannya menjelang perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 esok, menentang Korea Selatan yang dilihat akan menjadikan Malaysia tempat ‘melepaskan geram’ selepas hampir dimalukan Jordan ketika diikat 2-2, Sabtu lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN