DOHA: Bintang sensasi Korea Selatan, Son Heung Min kagum dengan bola sepak Malaysia yang disifatkannya kreatif selain turut mempunyai semangat juang tinggi ketika mengikat Taeguk Warriors 3-3, semalam.
Heung Min yang juga penyerang Tottenham Hotspurs berkata, anak-anak buah Kim Pan Gon berjaya melaksanakan tugas mereka dan perlawanan itu juga sangat menghiburkan semua penonton.
Dalam aksi di Stadium Al Janoub, perlawanan boleh diibaratkan seperti drama apabila kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan pada saat-saat akhir perlawanan, sekali gus memberi penamat seimbang.
“Ia satu keputusan yang sukar diterima, pujian hebat perlu diberikan kepada pasukan Malaysia. Mereka berjuang hingga ke saat akhir perlawanan dan saya kagum dengan bola sepak Malaysia yang nampak kreatif.
“Malaysia melaksanakan tugas mereka dengan hebat, memang menarik untuk menyaksikan perlawanan ini selaku peminat bola sepak. Kami kecewa dengan bagaimana kami mengakhiri perlawanan ini tetapi apa yang paling penting kami layak ke pusingan 16.
“Kami teruskan kemaraan kerana perlawanan penting berlangsung tidak lama lagi, jadi kami perlu bersedia untuk perlawanan besar itu,” katanya yang dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan.
Dalam masa yang sama, pemain berusia 31 tahun itu berharap prestasi Malaysia akan terus meningkat selepas ini dan beliau turut memuji Pan Gon yang membimbing Harimau Malaya. – AGENSI/UTUSAN