PETALING JAYA: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon memohon maaf kepada penyokong ekoran kekalahan 0-4 kepada Jordan dalam saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, semalam.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, pemain-pemainnya telah cuba sedaya upaya dalam perlawanan itu tetapi terpaksa akur kepada pasukan lawan.
“Tahniah kepada Jordan, mereka beraksi dengan bagus. Untuk kami, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada kami.
“Kami sudah cuba memberikan yang terbaik, malangnya kami tidak berjaya, saya memohon maaf untuk itu. Masih ada dua perlawanan lagi (dalam Kumpulan E) dan kami harus pandang ke depan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Enggan menoleh kebelakang Pan Gon masih menaruh keyakinan bahawa anak buahnya mampu mempamerkan kebangkitan apabila berdepan Bahrain, Sabtu ini.
“Tahniah kepada Jordan mereka mempamerkan prestasi yang baik malam ini (semalam) dan mereka berhak menang kerana mereka lebih baik dari segi fizikal dan teknikal daripada kami.
“Kami perlu bangkit dengan cepat daripada kekalahan ini untuk menghadapi baki dua perlawanan. Semua orang kecewa tetapi kita tidak boleh berputus asa dan berundur,” katanya.
Dalam aksi itu, daripada empat gol diperoleh Jordan dua gol masing-masing diledak Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-12, 32 dan Musa Al-Taamari (m-18,85).
Malaysia akan meneruskan kempen menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad pada Sabtu ini sebelum menamatkan cabaran peringkat Kumpulan E menentang Korea Selatan pada 25 Januari.
Pan Gon dijangka merombak kesebelasan utama menjelang aksi berdepan Bahrain dan turut menaruh harapan bahawa peluang ke peringkat kalah mati masih terbuka meskipun sukar. – UTUSAN