PETALING JAYA: Perubahan taktikal dalam perlawanan pertama Harimau Malaya pada aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 didakwa menghukum skuad kebangsaan apabila tewas 0-4 kepada Jordan di Stadium Al Janoub, semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli tidak menafikan bahawa kesilapan taktikal menjadi punca kepada kepincangan barisan pertahanan Malaysia ketika berhadapan Jordan.
Beliau berkata, hantaran jauh yang tepat pemain Jordan kepada barisan hadapannya membolehkan mereka melepasi barisan tengah negara dengan mudah.
“Kita guna formasi 3-4-3 untuk menguasai pada bahagian tengah tetapi percaturan kita silap.
“Kelihatan seperti corak permainan dan strategi bertahan yang digunakan pada perlawanan semalam. Formasi ini perlu disokong oleh barisan tengah yang kukuh dan berfungsi secara bersama ketika menyerang dan bertahan.
“Saya berpendapat benteng pertahanan perlu diperkukuhkan lagi. Kita bermain secara terbuka dan berdepan lawan yang fizikalnya lebih tinggi, tegap, tangkas dan mereka mempunyai hantaran-hantaran yang tepat.
“Harimau Malaya perlu perketatkan lagi benteng pertahanan kita. Jika tidak bila berdepan Bahrain nanti kita akan berdepan masalah yang sama. Tidak pasti sama ada formasi meletakkan lima pemain sebagai benteng pertahanan ada di dalam pemikiran Kim Pan Gon.
“Kita bimbang wujud masalah komunikasi sesama pemain pula jika ianya tidak dapat diadaptasi dan sesuaikan diri dengan taktikal dengan betul,” katanya.
Pekan berkata, pemain-pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama perlu mempunyai keserasian yang baik dan kejohanan ini bukan lagi tempat untuk menguji pemain.
“Pemain-pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama juga perlu membentuk keserasian yang mantap dan sudah biasa bersama.
“Jika pemain yang diturunkan adalah yang baharu untuk dicuba bersama dalam kejohanan ini, kita akan sukar mendapatkan keserasian dalam tempoh yang singkat dan lebih baik turunkan barisan yang sudah terbukti keserasiannya seperti di kelayakan Piala Dunia 2026 lalu.
“Pemain perlu tingkatkan keyakinan dan kuasai bola dengan tenang serta jangan gopoh dengan hantaran-hantaran cepat yang mudah tersasar kepada pihak lawan.
“Corak permainan ‘high pressing’ perlu diamalkan ketika berhadapan dengan Bahrain dan tidak membenarkan lawan menguasai bola dengan selesa. Kurangkan hantaran-hantaran tinggi ke depan pintu gol lawan kerana barisan depan kita tiada kelebihan dengan hantaran bola tinggi,” katanya. – UTUSAN