Johor kekalkan muka lama Piala Emas Khir Johari %

Johor kekalkan muka lama Piala Emas Khir Johari 

Undian Kejohanan Piala Emas Khir Johari di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad sepak takraw Johor tidak gentar untuk mempertahankan kejuaraan Piala Emas Khir Johari yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah dari 22 hingga 28 Januari depan biarpun tanpa kelibat pemain pemain bintang baru.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Johor, Datuk Abdul Halim Sulaiman menegaskan hampir 95 peratus muka lama dikekalkan, selebihnya pemain muda bawah 21 tahun, mengikut syarat format kejohanan pada edisi kali ini.

Menerusi undian yang dilakukan di Ibu pejabat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di Kuala Lumpur semalam, Johor diundi dalam Kumpulan A, bersama-sama juara 12 kali, Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Perlis.

Halim juga lega dengan hasil undian ini apabila berjaya mengelakkan daripada berada dalam kumpulan maut seperti Kumpulan D yang terdiri daripada Perak, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Saya melihat persaingan yang seimbang dalam kumpulan ini, tetapi jangan dilupakan Perlis, mungkin mereka boleh lakar kejutan.

“Ketika ini pasukan lain sedang rancak mendapatkan pemain-pemain bintang ke dalam pasukan mereka. Untuk Johor, tiada pemain baru dibawa masuk, kerana saya masih percayakan kemampuan mereka, terutamanya strategi kami untuk memberi pendedahan kepada regu muda bawah 21 tahun yang akan dibawa ke Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak nanti.

“Ini adalah perancangan kami, jadi walaupun tanpa pemain bintang yang baru, barisan sedia ada juga bukan calang-calang. Saya percaya kami mampu melakukannya,” jelas Halim yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Johor ditabalkan sebagai juara pada edisi 2022 selepas menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan 2-0 di pentas final.

Untuk edisi kali ini, ATM diundi dalam Kumpulan B bersama Sarawak, Pahang dan Kedah manakala Kumpulan C terdiri daripada Bomba, Kelantan, Kuala Lumpur, KPT-MASUM dan KPM-MSSM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya