Jaringan gol untuk rakyat Malaysia – Morales

Jaringan gol untuk rakyat Malaysia – Morales

ROMEL Morales (kanan) berjaya menewaskan penjaga gol Korea Selatan untuk gol penyamaan Malaysia mengikat keputusan 3-3. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang natu­ralisasi negara, Romel Morales mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan ke­rana memberi kepercayaan­ untuk dibawa masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Korea Selatan.

Pemain kelahiran Colombia itu berkata, kejayaannya meledak gol penyamaan pada saat-saat terakhir perlawanan juga bagaikan mimpi dan semua itu tidak akan hadir tanpa kepercayaan barisan kejurulatihan terhadap dirinya.

“Macam mimpi. Ini penampilan pertama saya bersama Malaysia dan terus beraksi di Piala Asia. Sangat istimewa. Sejak berada di sini, saya tahu ia sangat sukar dan bukan mudah untuk berikan segalanya.

“Saya juga kena sesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan, jadi saya hanya cuba berikan yang terbaik untuk memastikan saya dapat menyumbang kepada pasukan,” katanya selepas perlawanan.

Dalam aksi menentang Korea Selatan, Morales muncul wira apabila meledak gol penyamaan untuk memastikan Harimau Malaya menutup kempen Piala Asia 2023 dengan mengutip satu mata selepas tewas 0-4 kepada Jordan dan tunduk 0-1 kepada Bahrain.

Gol jaringan Morales terhasil apabila dia menerima hantaran daripada gandingan hebatnya di Kuala Lumpur City (KL City) FC, Paulo Josue, pemain berumur 26 tahun itu tenang merembat leret untuk menumpaskan penjaga gol Korea.

Selain itu, Morales juga me­nganggap jaringannya sebagai detik terindah dalam karier kerana berjaya membuat rakyat Malaysia bangga kerana mampu bangkit biarpun bermula hambar di Piala Asia 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN