PETALING JAYA: Pemain Harimau Malaya berjanji untuk bangkit mencari kemenangan penting menentang Bahrain dalam saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Doha, esok.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup dengan para pemain memberitahu, mereka berjanji untuk bangkit semula selepas tewas 4-0 kepada Jordan dalam aksi sulung, Selasa lalu.
Pertemuan tersebut juga digunakan Hamidin untuk meniup kembali semangat dan motivasi kepada pemain kebangsaan menjelang perlawanan yang menuntut kemenangan bagi menghidupkan peluang negara ke pusingan berikutnya.
Hamidin berharap aksi menentang Bahrain esok, skuad kebangsaan akan menunjukkan keupayaan sebenar yang gagal diperagakan mereka ketika tewas kepada Jordan, Selasa lalu.
“Pemain berjanji untuk bangkit pada perlawanan menentang Bahrain nanti dan sekurang-kurangnya kita perlu mendapatkan mata pada perlawanan tersebut untuk dibawa pulang.
“Kita harap pemain dapat memberikan saingan yang kuat menentang Bahrain ini. InsyaAllah mereka memberikan persembahan sebaik mungkin. Sama-sama kita doakan pasukan Harimau Malaya dapat melakukannya, Sabtu ini,” kata Hamidin.
Ketika ini, skuad kendalian Kim Pan Gon berada di tangga tercorot Kumpulan E selepas tewas kepada Jordan Selasa lalu.
Aksi berdepan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad esok dianggap perlawanan hidup mati bagi mengintai slot ke pusingan kalah mati nanti. – UTUSAN