Pan Gon tidak mahu 'tekan' pemain

Pan Gon tidak mahu ‘tekan’ pemain

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam sebagai persediaan untuk ke Piala Asia 2023 di Qatar bulan depan. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui berdepan sedikit cabaran membentuk skuad terbaik untuk menggalas cabaran di Piala Asia 2023 bulan depan.

Ini kerana 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan baharu sahaja melepasi musim panjang Liga Malaysia selain beberapa pasukan turut bersaing dalam kejohanan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sepatutnya tempoh ini merupakan masa berehat pemain bersama keluarga, malah ada juga antara pemain baharu sahaja melangsungkan perkahwinan seperti Syamer Kutty Abba dan Mathew Davies.

Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu percaya berbekalkan skil terbaik pada barisan kejurulatihan, skuad mantap mampu dibentuk untuk memastikan impian besar Harimau Malaya di Piala Asia 2023 dapat direalisasikan.

“Saya hargai pengorbanan semua pemain yang dipanggil kali ini, selepas musim panjang termasuk JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Sabah FC yang sertai kejohanan AFC. Mereka (pemain) bermain banyak perlawanan sebelum ini.

“Semestinya penat dan ada juga dalam kalangan pemain yang melangsungkan perkahwinan dan ada keluarga baharu. Terima kasih kerana meletakkan semua itu di tepi dan datang ke sini untuk bersama-sama pasukan.

“Saya sudah maklumkan kepada barisan kejurulatihan mana mana untuk kawal dan kurangkan tekanan kepada pemain, kami gunakan kemahiran terbaik yang kami ada dan tidak terlalu menekan pemain untuk membentuk skuad terbaik.

“Kita harap semua gembira dalam pasukan ini, latihan yang bagus tidak, tidak terlalu lama. Namun, kami akan pastikan ia (sesi latihan) diisi (segala perancangan) dengan baik untuk membentuk pasukan,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menaruh harapan untuk menyaksikan skuad kendalian Pan Gon dapat lolos ke pusingan 16 terbaik di Piala Asia 2023.

Harimau Malaya akan berlepas ke Qatar pada 1 Januari dan akan berdepan Syria dalam aksi persahabatan pada 8 Januari sebelum membuka tirai Piala Asia menentang Jordan pada 16 Ja­nuari, Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN