Harimau Muda atasi sejuk, tewaskan China

Harimau Muda atasi sejuk, tewaskan China

BARISAN Kesebelasan utama skuad Bawah 23 tahun negara ketika menentang China B-23 di Stadium Jinshan, Shanghai, semalam.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira pasukan Bawah 23 (B-23) negara apabila meledak gol pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan tipis 1-0 Malaysia ke atas China, semalam.

Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca sejuk di Stadium Jinshan, Shanghai, tidak menjejaskan corak permainan bertenaga diperagakan skuad bimbingan Juan Torres Garrido.

Selain berjaya menyerap serangan bertali arus tuan rumah, skuad Harimau Muda turut mencipta beberapa peluang sehinggalah jaringan terhasil pada minit ke-95 menerusi tolakan mudah Harith Haiqal, berpunca daripada sepakan penjuru.

Keputusan itu boleh dianggap petanda positif buat pengendali baharu Harimau Malaya B-23, Juan Torres Garrido yang dilantik ke jawatan itu pada Oktober lalu.

Anak buah Garrido bagaimanapun sekali lagi akan berentap dengan pasukan B-23 China dalam satu lagi aksi persahabatan, Selasa ini.

Sementara itu, pengurus pasukan negara B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar memuji semangat juang dipamerkan pemain-pemain muda negara.

“Alhamdulillah, pemain bermain dengan baik dan mengikut perancangan dimahukan jurulatih.

“Kemenangan ini memberi keyakinan kepada kami dan banyak perkara positif diperolehi dalam perlawanan ini.

“Bukan mudah sebenarnya bermain dalam cuaca sejuk tetapi pemain berjaya mengharunginya. Untuk perlawanan kedua, kita akan cuba perbaiki segala kelemahan yang dikenalpasti pada perlawanan pertama dengan menampilkan aksi lebih baik,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi, semalam.

Dua aksi persahabatan berdepan skuad B-23 China sebagai persiapan skuad negara bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

Harimau Malaya B-23 diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya