JHEV ATM bantu anggota bakal bersara cari kerja

JHEV ATM bantu anggota bakal bersara cari kerja

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail ditemani Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima cenderahati daripada Zambery Jefry Darus berupa beret dan bayonet tentera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu pangkalan sistem maklumat setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal menamatkan perkhidmatan dalam masa akan dibangunkan bagi membolehkan mereka mencari pekerjaan termasuk mengikuti kurus ‘reskilling and upskilling’ mengikut kecenderungan masing-masing.

Bagi membangunkan sistem tersebut, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) akan bekerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Sistem tersebut akan mengemas kini nama-nama anggota ATM yang bakal bersara dua hingga tiga tahun sebelum tarikh sebenar bagi membolehkan mereka memilih kecenderungan pekerjaan sebelum mengikuti kursus-kursus disediakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama, JHEV ATM juga akan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) beberapa agensi pekerjaan lain untuk melaksanakan program padanan kerja kepada veteran ATM yang tidak bekerja selepas menamatkan perkhidmatan.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, seramai 800 orang bakal pesara ATM telah menjalani kursus Penyelia Keselamatan dan kesihatan Pekerja di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang merupakan persediaan bagi menjalani kehidupan selepas persaraan.

Perkara itu dipersembahkan beliau kepada Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Raja Muda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam majlis sembah mengadap tersebut.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Operasi Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel (Bersara) Azwadi Jamian dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia, ⁠Datuk Ismail Abidin.

Sesi tersebut bertujuan untuk memastikan veteran ATM bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai orang awam dan mempunyai persediaan yang rapi khusus dalam sektor pekerjaan.

Objektif utama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM adalah untuk membantu pesara ATM dalam meningkatkan taraf sosioekonomi setelah menamatkan perkhidmatan dan akan terus berusaha untuk menjalankan pelbagai kerjasama dan program bagi memastikan ia tercapai.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertukar-tukar pandangan dengan Zambery dan memberikan beberapa titah saranan penambahbaikan untuk dipertimbangkan oleh pihak JHEV ATM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×