Duta Israel carik Piagam PBB, berang lihat sokongan diterima Palestin

Duta Israel carik Piagam PBB, berang lihat sokongan diterima Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan bertindak biadab mencarik dokumen piagam badan dunia itu sebagai tanda protes terhadap sokongan diterima Palestin ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).

Erdan dilihat membawa mesin penghancur kertas kecil di atas podium dan memasukkan beberapa muka surat Piagam PBB bagi membantah undian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan resolusi untuk mempertimbang keanggotaan penuh Palestin dalam badan tersebut.

“Resolusi ini adalah pelanggaran jelas terhadap Piagam PBB.

“Hari ini saya mahu mengangkat cermin untuk anda, supaya anda dapat melihat apa sebenarnya yang anda lakukan kepada Piagam PBB dengan undian ini. Anda sedang mencarik Piagam PBB dengan tangan anda sendiri,” katanya.

Menteri Luar Israel, Israel Katz turut mendakwa kelulusan resolusi itu sebagai keputusan tidak masuk akal yang menonjolkan kecondongan struktur PBB.

“Mesej yang dihantar PBB ke rantau kami yang menderita membuahkan hasil.

“Keputusan untuk menaik taraf status rakyat Palestin di PBB adalah hadiah untuk Hamas selepas mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai terbesar orang Yahudi sejak Holocaust,” ujarnya.

UNGA meluluskan resolusi untuk mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu.

Resolusi itu diluluskan dengan 143 negara mengundi menyokong, sembilan mengundi menentang dan 25 berkecuali.

Teks yang dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyeru Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mempertimbangkan semula perkara itu dengan baik.

Draf itu menyatakan Palestin layak mengikut Perkara 4 Piagam PBB dan harus diterima masuk sebagai ahli.

UNSC mengundi secara majoriti untuk memberikan Palestin beberapa hak tambahan dalam badan global itu, selepas usaha mereka untuk menjadi ahli penuh disekat oleh Amerika Syarikat (AS).

Walaupun undian UNSC tidak boleh memberikan keahlian PBB, resolusi yang diluluskan itu memberikan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dengan hak dan keistimewaan prosedur baharu bermula September ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN