PETALING JAYA: Bekas pemain badminton negara, Tan Boon Heong merasakan peningkatan beberapa beregu lelaki negara untuk tahun ini mampu merealisasikan impian untuk melihat dua wakil Malaysia beraksi dalam acara itu di Sukan Olimpik Paris 2024.
Tatkala Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat selesa untuk ke temasya sukan terbesar dunia itu berdasarkan kedudukan mereka dalam ranking kelayakan Sukan Olimpik Paris, satu lagi slot menjadi rebutan antara tiga lagi pasangan negara.
Pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berada di tangga ke-11, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula di tangga ke-16 manakala Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani di tangga ke-19.
Format Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pula memperuntukkan untuk sebuah negara mempunyai dua wakil dalam acara beregu di Sukan Olimpik, pasangan tersebut haruslah berada dalam kelompok lapan terbaik ranking kelayakan ke Paris.
Kali terakhir dua beregu lelaki Malaysia layak beraksi di temasya itu adalah ketika edisi 2008 Beijing menerusi Boon Heong dan pasangannya, Koo Kien Keat serta Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
“Saya rasa bukan senang untuk dua pasangan negara berada dalam kelompok lapan terbaik, jadi ini merupakan peluang terbuka untuk mana-mana beregu sedia ada yang mencabar kedudukan itu.
“Kalau mereka dapat menjadi lapan terbaik, ini akan mencerahkan peluang kita untuk merebut pingat di Sukan Olimpik, sebab kebiasaannya kita harapkan Datuk Lee (Chong Wei) sahaja. Indonesia dan China pula sudah kerap mempunyai dua wakil dalam setiap acara di Sukan Olimpik.
“Peluang itu ada, tetapi mungkin sukar sedikit. Misalnya Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, walaupun mereka kini No. 11, kedudukan mereka tidak jauh tetapi dari segi pungutan mata ranking ada banyak perbezaan lagi,” jelas Boon Heong yang ditemui pemberita ketika Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Badminton Akademi TBH di Kepong, Kuala Lumpur semalam.
Ini bermakna tiga pasangan negara itu mempunyai tempoh empat bulan sahaja lagi untuk meningkatkan kedudukan ranking mereka memandangkan tarikh kelayakan ke Sukan Olimpik Paris akan berakhir pada 28 April 2024. – UTUSAN