ISTANBUL: Manchester United berdepan penyingkiran dalam kempen Liga Juara-Juara seawal peringkat kumpulan selepas mensia-siakan kelebihan dua jaringan untuk seri 3-3 dengan Galatasaray di Istanbul, pagi ini.
Juara Eropah tiga kali United memerlukan kemenangan di Turkiye dalam aksi menentang lawan yang menewaskan mereka di Old Trafford bulan lalu, untuk memastikan mereka berpeluang mara ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol Manchester United, Andre Onana yang melakukan dua kesilapan memalukan membolehkan tuan rumah bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat The Red Devils 3-3.
Skuad kendalian Erik Ten Hag tampil dengan meyakinkan di awal saingan selepas meledak jaringan pembukaan menerusi Alejandro Garnacho disusuli dengan gol menakjubkan Bruno Fernandes pada minit ke-18.
Hakim Ziyech membalas dengan meledakkan gol melalui sepakan percuma, sebelum Scott McTominay memulihkan kelebihan dua gol pelawat pada awal separuh masa kedua.
Galatasaray sekali lagi bangkit apabila memperoleh jaringan juga melalui sepakan percuma Ziyech selepas Onana tertampan bola masuk ke gawang sendiri dan tuan rumah menyamakan kedudukan hasil gol Kerem Akturkoglu pada minit ke-71.
United kini bolos 14 gol dalam lima perlawanan peringkat Eropah dan meninggalkan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di tangga tercorot Kumpulan A dengan baki satu perlawanan. – AGENSI/UTUSAN
KEPUTUSAN LIGA JUARA-JUARA EROPAH
Galatasaray 3-3 Man. United
Sevilla 2-3 PSV Eindhoven
Bayern Munich 0-0 Copenhagen
Real Madrid 4-2 Napoli
Real Sociedad 0-0 RB Salzburg
Braga 1-1 Union Berlin
Arsenal 6-0 Lens
Benfica 3-3 Inter Milan