Selangor waspada ‘bisa’ Perak FC

Selangor waspada ‘bisa’ Perak FC

TAN CHENG HOE meminta Selangor waspada dengan kebangkitan Perak dalam aksi Liga Super malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berharap pemain-pemainnya yang baru pulang daripada tugasan bersama Harimau Malaya berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan Liga Super menentang Perak FC, hari ini.

Cheng Hoe berkata, Pe­rak semakin baik yang mana mereka bukan sahaja mampu menyerap tekanan tetapi mampu menghukum pasukan lawan sekiranya diberikan ruang dan peluang.

“Seperti yang kita tahu selepas Yusri Che Lah mengendalikan pasukan Perak, terdapat peningkatan dari segi permainan dari satu perlawanan ke satu perlawanan di samping kemasukan beberapa import mereka dan pemain muda yang menyerlah.

“Memang bukan mudah untuk mana-mana pasukan bertemu mereka. Kita perlu berwaspada dengan corak permainan mereka kerana mereka mampu menyerap tekanan dan menjaringkan gol jadi oleh sebab itu kita tekankan perlawanan menentang Perak sangat penting.

“Selepas hampir dua bulan tiada perlawanan kompetitif, akhirnya hari ini (semalam) kita turun berlatih dengan skuad penuh dan saya berharap pemain-pemain yang baru lapor diri daripada pasukan kebangsaan berada dalam tahap kecergasan yang terbaik,” katanya.

Jurulatih berasal dari Alor Setar, Kedah itu mahu pasukan memberi fokus penuh kepada corak permainan sendiri apabila menentang Perak kerana ia adalah perlawanan yang cukup penting buat skuad The Red Giants.

Selangor kini dalam misi yang cukup penting yang mana mereka perlu menang dalam baki tiga perlawanan iaitu menentang Perak, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan PDRM FC sekiranya mahu la­yak ke Piala AFC musim depan.

“Kita inginkan keputusan positif sebelum menentang Kedah di Stadium Darul Aman kerana ketika ini, kita hanya berkelebihan dua mata sahaja, jadi perlawanan menentang Perak cukup penting untuk pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga mengesahkan bahawa beliau sudah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus mengendalikan skuad Merah Kuning dengan misi utama untuk meningkatkan kualiti permainan dan juga pemain di kelab itu.

“Ya, saya akan bersama Selangor dengan kontrak dua tahun lagi dan yang penting adalah kami nak tengok Selangor ada peningkatan dari segi permainan dan pemain.

“Bukan mudah untuk mengendalikan pasukan seperti Se­langor kerana harapan tinggi daripada penyokong. Saya juga gembira dengan suasana kelab dan pengurusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN