LIKAS: Sabah FC berjaya membalas dendam di atas kekalahan dalam saingan Piala AFC ke atas kelab Vietnam, Hai Phong dengan kemenangan besar, 4-1 dalam aksi kumpulan H yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah sebentar tadi.
Pesta gol Sabah bermula sejak minit ke 20 menerusi pemain pertahanan, Daniel Ting.
Sabah semakin selesa apabila Darren Lok menggandakan jaringan buat tuan rumah setelah menanduk masuk bola hasil hantaran Saddil Ramdani untuk menewaskan penjaga gol Hai Phong, Nguyen Van Toan pada minit ke-34.
Barisan anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak mengendurkan asakan di babak kedua dengan pemain pertahanan dari Brazil, Gabriel Peres meledak gol ketiga Sabah pada minit ke 70.
Gol saguhati pelawat akhirnya hadir pada minit ke 85 menenrusi Yuri Mamate.
Begitupun Sabah belum puas dengan Jafri Firdaus Chew menambah gol keempat Sabah selepas menyempurnakan hantaran Ramon Machado pada minit ke-95.
Kemenangan ini membalas semula kekecewaan Sabah yang tewas 3-2 kepada Hai Phong ketika bertandang ke Stadium Lach Tray, Vietnam pada Oktober lalu.