GEORGE TOWN – Hilang fokus dan konsentrasi selepas dua kali mendahului lawan dikenal pasti sebagai antara punca yang menyebabkan Sri Pahang FC (SPFC) kecundang 2-3 kepada Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, semalam.
Penolong ketua jurulatih SPFC, Datuk Ahmad Yusof berkata, agak malang kerana skuad Tok Gajah gagal memanfaatkan kelebihan yang dimiliki itu sekali gus terlepas peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
“Kita dihukum oleh kelekaan pemain kita sendiri terutamanya ketika aksi separuh masa kedua berlangsung.
“Insya-Allah, saya yakin dan percaya bahawa pemain-pemain kita akan bangkit dengan berbaki dua lagi perlawanan untuk dihabiskan,” katanya sejurus tamat perlawanan berkenaan.
Gol-gol SPFC dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Rafael da Silva dan Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak; masing-masing pada minit ke-15 dan 62 perlawanan.
Sementara itu, Penang FC pula memperoleh jaringan menerusi sentuhan cemerlang pemain import mereka, Abdul Abdeen pada minit ke-25 dan 63 selain gol kemenangan yang disumbangkan oleh pemain tengah, Muhammad Izzat Zikri Iziruddin pada minit ke-70.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, dua kekalahan berturut-turut termasuk tumpas di PDRM FC sebelum ini juga dengan keputusan 2-3 tidak merencatkan peluang Tok Gajah untuk terus memburu kedudukan empat pasukan terbaik liga musim ini.
Katanya, ketiadaan beberapa pemain tonggak termasuk penyerang Liberia, Kpah Sherman diakui sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasukan, namun, SPFC tidak akan menjadikan perkara tersebut selain faktor keletihan sebagai alasan mereka gagal memungut sebarang mata di Pulau Pinang.
“Kalau kita bersungguh-sungguh, peluang kita (untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik) tetap ada. Insya-Allah,” katanya.
Ketika ini, SPFC berada di ranking kelima liga dengan 44 mata dan dipisahkan empat mata daripada pasukan di tangga keempat iaitu Sabah yang mengumpul 48 mata daripada 24 perlawanan. – UTUSAN