PUTRAJAYA: Keputusan sama ada untuk venue perlawanan akhir Pestabola Merdeka kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atau bertukar gelanggang akan diputuskan sendiri oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM akan berbincang bagi menentukan venue terbaik untuk diadakan perlawanan antara Malaysia menentang Tajikistan, Selasa ini.
Keadaan padang SNBJ menimbulkan persoalan apabila ia mengalami kerosakan dengan rumput tercabut di beberapa bahagian ketika Harimau Malaya mengalahkan India 4-2 malam tadi.
Kata Hannah, pemilihan SNBJ dibuat oleh FAM dan sebagai persediaan untuk menghadapi perlawanan akhir nanti, FAM tetap berhak untuk memutuskan jika mahu meneruskan saingan di venue tersebut atau memilih stadium lain untuk mengelak kejadian sama berulang.

“Rumput itu ditaja oleh Tunku Mahkota Johor, baik taraf dibiayai oleh Perbadanan Stadium Malaysia . PSM hanya merupakan pembelian venue, bermaksud mereka menyediakan lokasi untuk acara sukan.
“Yang memilih menggunakan SNBJ sekarang ialah FAM dan saya pun sedang menunggu mereka punya kenyataan kerana PSM telah pun mengeluarkan kenyataan berhubung isu rumput itu.
“Kenyataan PSM memaklumkan bahawa rumput baharu itu belum men capai tahap optimum dan hanya itu perkara terbaik yang mampu diberikan mereka kepada FAM dan kejohanan tersebut.
“Saya lihat keputusan sama ada nak bermain di SNBJ Selasa ini kena diputuskan oleh Harimau Malaya dan FAM sendiri. Kita tidak menghalang jika mereka rasa itu keputusan terbaik (bermain di SNBJ) tetapi jika mereka rasa itu tidak cukup baik untuk prestasi pasukan dan kena cari stadium lain, pun boleh.
“Di pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), apa yang kita ada hanyalah SNBJ. Keputusan akhirnya, FAM yang kena tentukan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa hadir ke Majlis Penyerahan Hadiah Kemenanga Huawei Malaysia kepada Pemenang Pingat Sukan Asia Hangzhou, yang tamat minggu lalu.
Semalam, PSM mengambil maklum mengenai kejadian tompokan di padang SNBJ dengan menjelaskan bahawa kawasan itu kurang kukuh akibat pendedahan cahaya matahari yang lebih rendah.
Tegas PSM, mereka telah menggunakan “grow light” bagi meransang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu namun menyedari bahawa fungsinya tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari sebenar. – UTUSAN