PETALING JAYA: Selepas meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Julai lalu, peminat bola sepak tempatan tertanya-tanya kelab mana akan diwakili oleh pemain naturalisasi Harimau Malaya, Lee Tuck selepas ini.
Ketika ramai yang menjangkakan pemain berumur 35 tahun itu masih kekal dalam arena bola sepak, Tuck akhirnya mengakhiri spekulasi itu apabila mendedahkan bahawa dia kini ‘terjun’ ke dalam bidang baharu sebagai ejen hartanah di United Kingdom (UK).
Menerusi perkongsian di laman sosialnya, Tuck berkongsi berita gembira apabila dirinya bersama isteri, Georgia, berjaya menjadi finalis Anugerah Pelabur Hartanah Terbaik di UK.
“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa saya adalah finalis dalam Anugerah Pelabur Hartanah yang merupakan salah satu anugerah kebangsaan terbesar di UK dan ia merupakan salah satu anugerah paling diiktiraf dalam industri hartanah.
“Saya sangat berbangga dengan pasukan saya di Unified Property atas semua kemajuan yang telah kami capai pada 2022/2023.
“Walaupun ia tidak selalu mudah, saya bersyukur atas pengiktirafan yang kami terima atas segala usaha kami untuk meningkatkan taraf hartanah sewaan,” Kata Tuck dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Pada Julai lalu, KDA FC membuat pengumuman mengejut apabila mengumumkan Tuck berpisah dengan Sang Kenari biarpun pemain tengah itu mempamerkan aksi memberansangkan di bawah kendalian Nafuzi Zain.-UTUSAN