GEORGE TOWN: Kerajaan negeri mengangkat dan memartabatkan warisan budaya termasuk warisan tidak ketara seperti seni persilatan di Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, warisan itu bukan sahaja perlu dipelihara, tetapi ia perlu didokumentasi dan diwariskan kepada generasi akan datang supaya tidak pupus ditelan zaman.
“Silat merupakan seni mempertahankan diri tradisional orang Melayu yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya bangsa, seiring dengan perkembangan bahasa, adat dan kesenian.
“Silat bukan sekadar gerak langkah, tetapi mengandungi nilai adab, disiplin dan penghormatan yang membentuk peribadi seseorang.
“Oleh itu, saya mencadangkan persatuan silat di Pulau Pinang mencalonkan Silat Siku 12 iaitu salah satu daripada cabang silat yang telah lama bertapak di negeri ini sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang secara rasmi,” katanya merasmikan Pameran Silat Warisan Pulau Pinang Siku 12 di Muzium Negeri Pulau Pinang semalam.
Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) itu berkata, pameran berlangsung sehingga 17 Mei ini mengetengahkan manuskrip asal, falsafah latihan, sistem pergerakan dan aspek psikologi terkandung dalam catatan pengasas Silat Siku 12 iaitu Shaik Ghulam Meah Shaik Ahmad Meah atau lebih dikenali sebagai Mamu Dada. – UTUSAN










