JOHOR BAHRU: Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk digunakan oleh Harimau Malaya ekoran isu rumput rosak yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam saingan Pestabola Merdeka malam tadi.
Kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, padang baharu di Bukit Jalil sebenarnya berkualiti, namun ia digunakan lebih awal sebelum rumput benar-benar matang.
Katanya, padang itu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar rumput benar-benar kuat seperti yang dilakukan di SSI, Iskandar Puteri.
This is the proven product. Dah terbukti. Tetapi kena jaga betul betul. Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ tak ada TMJ di situ, itu aja. @FAM_Malaysia kalau nak pakai SSI cakap saya siapkan. pic.twitter.com/qWDcgUE4yN
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 13, 2023
“Padang ini sudah terbukti berkualiti tinggi, tetapi kena jaga betul-betul. Tiada beza (dengan padang Stadium Sultan Ibrahim), rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ tak ada TMJ di situ, itu aja.
“FAM kalau nak pakai Stadium Sultan Ibrahim cakap, saya siapkan,” kata Tunku Ismail dalam hantara di media sosial.
Katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak pengurusan stadium yang membuat keputusan membenarkan SNBJ digunakan oleh skuad kebangsaan malam tadi hingga menyebabkan ia mengalami kerosakan.
Ketika merasmikan padang itu, Khamis lalu, beliau telah memberitahu mereka bahawa rumput akan terkopak sekiranya digunakan lebih awal.
“Itu atas keputusan FAM dan pihak stadium. Kalau saya, saya beri lebih masa, sekurang kurangnya lagi dua atau tiga bulan. Kontraktor ini kontraktor yang sama buat padang JDT.
“Semalam (kelmarin) semasa majlis penyerahan padang saya cakap kepada semua yang padang ni perlu lebih masa kerana akar dia belum kuat.
“Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan,” katanya.
Dalam perlawanan Pestabola Merdeka malam tadi, Harimau Malaya mudah menjinakkan pasukan India 4-2 di hadapan lebih 46,000 penonton bagi menempah tiket final menentang Tajikistan, Selasa ini.
Kelmarin, Tunku Ismail bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merasmikan padang di SNBJ.
Tunku Ismail telah menaja padang di SNBJ sebagai hadiah kepada bola sepak Malaysia selepas saban tahun pengendali stadium menghadapi masalah berkaitan kualiti rumput.
Beliau berkata, rumput Zeon Zoysia turut digunakan di SSI, yang diiktiraf sebagai padang terbaik di negara ini sejak stadium ikonik tersebut dibuka pada 2020. – UTUSAN