Selamat tinggal Hangzhou 2022, jumpa di Nagoya 2026

Selamat tinggal Hangzhou 2022, jumpa di Nagoya 2026

Atlet renang para negara, Carmen Lim diberikan penghormatan membawa Jalur Gemilang ketika Majlis Penutupan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 sebentar tadi. (FOTO: MSN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANGZHOU: Kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang 39 pingat dari Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang melabuhkan tirainya sebentar tadi.

Bagi acara penutupan yang berlangsung di Stadium Olimpik Hangzhou sebentar tadi, atlet para renang negara, Carmen Lim diberikan penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang sambil mengetuai perarakan masuk kontinjen Malaysia.

Misi Malaysia untuk edisi kali ini boleh dianggap berjaya apabila melebihi sasaran awal iaitu 35 pingat tanpa warna yang ditetapkan oleh pihak KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pecahan kepada 39 pingat diraih Malaysia untuk temasya kali ini dapat dibahagikan kepada tujuh pingat emas, 15 pingat perak dan 17 pingat gangsa, sekaligus berada di tangga ke 12 keseluruhan daripada 28 negara yang mengambil bahagian.

Walaupun prestasi Malaysia untuk edisi kali ini sedikit menurun jika dibandingkan dengan edisi 2018 di Jakarta, misi kali ini masih dianggap membanggakan jika diambil kira dengan peratusan atlet muda yang membuat penampilan sulung di Sukan Para Asia.

Daripada 113 orang atlet para yang mewakili Malaysia di Hangzhou kali ini, 54 orang daripadanya beraksi buat pertama kali di temasya ini, selain faktor-faktor lain seperti ketiadaan acara prospek pingat emas (tenpin boling dan boling padang) serta persaraan beberapa atlet dari edisi terdahulu yang menjurus kepada penurunan pungutan pingat.

Selepas tujuh hari atlet para dari seluruh pelosok benua Asia bertarung di Hangzhou, Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC), Majid Rashed bersama Canselor China, Shen Yiqin secara rasminya mengumumkan penutupan temasya edisi keempat ini.

Tiga tahun lagi, kesemua atlet ini akan kembali turun berentap apabila Jepun bakal menjadi tuan rumah pada edisi 2026 di Nagoya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN