Sang Penyu main teruk pada babak pertama - Norde

Sang Penyu main teruk pada babak pertama – Norde

PENYERANG Terengganu FC, Ivan Mamut (tengah) diasak pertahanan Stallion Laguna dalam saingan Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pemain tengah Terengganu FC, Sony Norde mengakui, pasukannya hilang punca dan gagal mempamer permainan sebenar sebelum bangkit mengikat Stallion ­Laguna 2-2 dalam aksi Piala AFC semalam.

Reputasi lawan yang dianggap kelab belasahan Kumpulan H selepas dibedil 9-1 oleh Central Coast Mariners dan tumpas 2-5 kepada Bali United dalam dua pembukaan meletakkan Terengganu sebagai pilihan untuk menang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Begitupun, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner dikejutkan dengan gol Stallion ­seawal minit ketujuh menerusi sepakan percuma Griffin McDaniel.

Belum sempat bangkit, gawang Sang Penyu bolos lagi pada minit ke-40 selepas Ngong Sam Stephen menyambar bola muntah hasil percubaan awal Diego Trujillo.

Lima minit memasuki waktu kecederaan babak pertama, Norde meredakan tekanan tuan rumah dengan merapatkan jurang 1-2 selepas menyudahkan gerakan menarik Ivan Mamut dari sebelah kanan.

Ketika Terengganu di ambang kekalahan dengan kedudukan 1-2 kekal memasuki minit ke-90, Adisak Kraisorn muncul penyelamat apabila menanduk hantaran Norde di waktu ­kecederaan.

“Pada babak pertama, kami tidak bermain bola sepak dan bermain lebih teruk daripada lawan, malah kami membenarkan mereka melakukan apa sahaja.

“Saya tahu cuaca (bermain petang) tidak memihak kami namun mereka juga bermain dalam keadaan cuaca yang sama,” kata Norde.

Terengganu jatuh ke tangga kedua Kumpulan H, satu mata di belakang Central Coast Mariners yang menumpaskan Bali United 6-3 dalam satu lagi perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN