Siri Asia pentas uji skuad Ragbi 7s

Siri Asia pentas uji skuad Ragbi 7s

Nik Safuan Ismade Nik Man
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Siri Asia (Asia Rugby Sevens Series) yang akan berlangsung di China hujung September ini menjadi medan penting buat skuad Ragbi 7 sebelah negara dalam mempersiapkan pasukan sebelum menghadapi cabaran di Sukan SEA 2025.

Ketua jurulatih negara, Nik Safuan Ismade Nik Man mengakui kejohanan berprestij itu bukan sekadar pentas persaingan, malah menjadi penilaian terakhir terhadap tahap kecergasan, taktikal serta ketahanan fizikal pemain sebelum misi memburu pingat di temasya dwitahunan berkenaan.

“Fokus utama kita adalah Sukan SEA tahun depan, namun Siri Asia ini adalah medan ujian terbaik untuk saya menilai tahap persiapan pasukan, khususnya dari aspek Strength & Conditioning (S&C) pemain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Nik Safuan, saingan di China dijangka sengit memandangkan kejohanan tersebut menghimpunkan pasukan-pasukan gergasi Asia seperti Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan China, selain kebangkitan pasukan Sri Lanka, Filipina serta Chinese Taipei.

“Kalau ikut format baharu, sebanyak 12 pasukan akan bersaing tahun ini, termasuk empat pasukan daripada kumpulan bawah yang berjaya naik ke divisyen utama.

“Jadi, misi utama kita adalah layak ke suku akhir untuk kekal dalam kelompok lapan terbaik Asia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan persaingan Sukan SEA tahun ini bakal lebih mencabar dengan peningkatan ketara pasukan Thailand, Filipina dan Singapura.

“Thailand memang lawan tradisi yang kita perlu beri perhatian, Filipina pula menggunakan ramai pemain naturalisasi. Singapura juga tak boleh dipandang ringan kerana mereka dah buat persiapan rapi sejak dua tahun lepas.

“Saya kena pastikan mentaliti pemain kita cukup kuat terutama apabila berdepan Thailand, sebab rekod pertemuan sebelum ini kita kalah di final Siri Asia di Singapura, Mei lalu,” katanya.

Skuad Ragbi 7s negara sebelum ini menamatkan kempen Siri Asia musim lalu di kedudukan keenam, dengan prestasi terbaik mereka pernah berada di tangga kelima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×