Pan Gon mohon maaf, minta peminat tidak salahkan pemain

Pan Gon mohon maaf, minta peminat tidak salahkan pemain

PEMAIN Malaysia jelas kecewa gagal menghadiahkan kejuaraan Pestabola Merdeka selepas kalah kepada Tajikistan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memohon maaf atas kegagalan Malaysia memenangi Pestabola Merdeka 2023, malam tadi.

Bagaimanapun pengendali kelahiran Korea Selatan itu meminta semua pihak, terutama penyokong agar tidak menyalahkan individu tertentu ketika pasukannya kalah 0-2 kepada Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia, saya tahu anda meletakkan harapan tinggi untuk melihat kita memenangi piala selepas beberapa tahun.

“Bagaimanapun kami tidak berjaya memberi kejuaraan seperti diharapkan, jadi sebagai jurulatih, saya minta maaf atas keputusan ini.

“Tetapi saya tetap berbangga dengan pemain kerana kita menyerang dan menguasai permainan menentang pasukan di tangga ke-110 dunia.

“Saya sudah katakan sebelum ini bahawa kita tidak akan selalunya menang, jadi ini akan menjadi pengajaran buat kita,” kata Pan Gon.

AKSI Malaysia ketika menentang Tajikistan.

Satu jaringan pada setiap babak ditambah dengan kesilapan komunikasi pemain negara memberi kelebihan kepada Tajikistan untuk menjulang trofi di gelanggang lawan.

Kekalahan itu menyebabkan Malaysia terlepas peluang memungut mata penuh dalam ranking badan bola sepak dunia, FIFA biarpun berjaya memperoleh tambahan +6.40.

Pan Gon tidak mahu penyokong menyalahkan pemain sepenuhnya kerana sokongan amat diperlukan untuk melihat pasukan lebih maju.

“Jangan salahkan pemain. Saya juga melakukan kesilapan, pemilihan pemain dan sebagainya.

“Kita kalah kepada lawan yang lebih kuat, jadi ia menjadi pengajaran berguna. Saya harap anda terus memberikan sokongan kepada para pemain,” katanya.

PEMAIN Tajikistan meraikan kejuaraan.

Selepas mengecewakan Harimau Malaya dalam final Piala Raja Thai tahun lalu, ‘Singa Persia’ menghampakan Malaysia buat kali kedua, kali ini di hadapan hampir 40,000 penyokong tuan rumah untuk kekalahan pertama skuad negara selepas tujuh perlawanan.

Ini turut menyaksikan Malaysia kemarau untuk merangkul sebarang trofi selepas kali terakhir memenangi trofi Piala AFF 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN