MANCHESTER: Harry Maguire mengancam untuk meninggalkan Manchester United pada jendela perpindahan Januari ini jika terus ‘diperam’ di bangku simpanan oleh pengurus, Erik ten Hag.
Aksi Liga Perdana Inggeris menentang Brentford, Sabtu lalu adalah kali pertama Maguire disenaraikan dalam kesebelasan utama musim ini.
Ten Hag hanya menurunkan bek tengah England itu kerana kehilangan enam pemain pertahanan akibat kecederaan.
Bagaimanapun Manguire, 30, mungkin kembali ke bangku simpanan apabila Raphael Varane cergas, sekali gus menyukarkan peluangnya untuk mewakili England dalam Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
“Saya tidak akan duduk di sini sepanjang hidup hanya untuk beraksi sebulan sekali. Jika keadaan ini berterusan, saya dan pihak kelab kena duduk berbincang.
“Keputusan bukan di tangan saya untuk menentukan sama ada saya akan diturunkan pada perlawanan seterusnya atau tidak.
“Dalam beberapa minggu lagi, saya akan kembali ke kelab dan sama-sama kita nantikan,” kata Maguire yang kini bersama kem England menjelang aksi menentang Australia dan Itali.
Menurut Maguire, dia bersedia untuk kekal di Old Trafford jika Ten Hag memberi peluang yang adil buat dirinya.
“Anda boleh semak rekod saya di bawah beliau (Ten Hag). Peratus kemenangan ketika saya diturunkan sangat tinggi,” katanya. – AGENSI