KOTA BHARU: Pengendali The Red Warriors (TRW), Alfredo Vera mendedahkan, Kelantan FC tidak mempunyai pasukan yang bagus untuk bersaing secara kompetitif dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Vera berkata, hakikat itu perlu diterima semua pihak, termasuk barisan pemain sendiri dan mereka harus berlapang dada menerima kekalahan 0-4 kepada seteru setempat, Kelantan United FC pada suku akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin.
“Kita menyedari sangat susah bagi TRW mengimbangi pasukan lain musim ini kerana barisan pemain sedia ada belum matang dan kurang berani di padang perlawanan, selain kurang komunikasi antara mereka.
“Namun kita perlu meneruskan perjalanan ini dengan semua tenaga yang ada. Tidak boleh terlalu banyak alasan atau sebagainya kerana kita sebenarnya sudah tidak mempunyai banyak pilihan,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu menganggap penyertaan Kelantan FC dalam Liga Super dan kejohanan berprestij musim ini sekadar memberi peluang kepada pemain muda.
“Mudah-mudahan selepas selesai Liga Super dan semua kejohanan musim ini kita masih ada peluang membentuk pasukan lebih baik dan tampil kompetitif di masa akan datang,” katanya.
Mengulas aksi kelmarin, beliau mengakui TRW berdepan kesukaran terutama pada 10 minit pertama dan keberanian untuk bangkit melawan hanya muncul pada 15 minit terakhir.
Pasukan kendaliannya sudah berusaha untuk bermain secara kolektif tetapi masalah utama pada ketika ini adalah ketiadaan penyerang untuk membantu di bahagian hadapan.
“Kita tidak ada penyerang. Itu masalah sebenarnya. Kita beroleh beberapa peluang yang baik pada perlawanan malam ini (malam tadi) tetapi tiada penyerang untuk mencetak gol.
“Malah dua gol awal dijaringkan oleh Kelantan United sebenarnya berpunca daripada kesilapan dan kesalahan kita sendiri. Bagaimanapun saya terima keputusan ini dengan berlapang dada kerana kalah dan menang adalah adat pertandingan,” ujarnya.