LIVERPOOL: Liverpool yang gagal mencatat kemenangan dalam dua aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan tugas berat apabila menerima kunjungan musuh berjiran, Everton di Anfield hari ini kerana hilang beberapa tonggak.
Selepas kalah 2-1 dalam perlawanan kontroversi di Tottenham pada 1 Oktober lalu dan diikat 2-2 oleh Brighton, lapan hari kemudian, Reds perlu menewaskan The Toffees untuk mengukuhkan kedudukan empat terbaik liga.
Begitupun pengendali mereka, Jurgen Klopp menggalas tugas sukar untuk mencatur strategi isu kecederaan dan penggantungan.
Bek kiri, Andy Robertson tidak disenaraikan akibat kecederaan bahu, manakala status penyerang Belanda, Cody Gakpo (masalah lutut) masih samar biarpun sudah menyertai latihan semalam.
Bintang Portugal, Diogo Jota akan kembali beraksi selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Tottenham, malangnya Curtis Jones yang turut dibuang padang dalam perlawanan itu perlu menunggu aksi akan datang untuk diturunkan.
Menurut Liverpool Echo, Klopp mungkin merehatkan Darwin Nunez, Luis Diaz dan Alexis Mac Allister daripada kesebelasan utama kerana trio Amerika Selatan itu baru tiba di England selepas mengharungi perjalanan jauh bersama negara mereka pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Sementara itu, pengendali Everton, Sean Dyche menjangkakan pertarungan penuh ‘ghairah dan emosi’ bakal menyelubungi dua musuh lama itu.
Tegasnya, kedua-dua pasukan turun dengan satu matlamat, memenangi perlawanan.
“Kami datang ke Anfield untuk menang. Kami akan lakukan apa sahaja, berjuang serta bekerja keras,” katanya.
Seperti Reds, Everton juga berdepan isu kecederaan, di mana Dele Alli, Seamus Coleman, Andre Gomes dan Idrissa Gana Gueye bakal terlepas permainan. – AGENSI