BRIGHTON: Brighton dan Liverpool terpaksa akur untuk berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Stadium Falmer sebentar tadi.
Pasukan kendali Roberto De Zerbi bermula baik apabila Simon Adingra berjaya meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke 20.
Liverpool tidak panik apabila kerap melancarkan serangan ke kubu Brighton, namun gawang tuan rumah kebal dikawal Bar Verbruggen.
Reds terpaksa menanti sehingga penghujung babak pertama apabila ayam tambatan, Mohammed Salah berjaya memanfaatkan peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke 40.
Jaringan itu menyemarakkan lagi semangat anak buah Jurgen Kloop apabila menambah satu lagi jaringan pada masa tambahan babak pertama.
Bermula dengan kesilapan hantaran yang dilakukan Verbruggen, pemain tengah Brighton, Pascal Groß menarik baju pemain Liverpool, Dominik Szoboszlai untuk pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang kemudiannya disempurnakan oleh Salah sekali lagi.
Aksi di babak kedua tidak kurang rancak apabila kedua-dua pasukan saling berusaha untuk menambah jaringan.
Bagaimanapun Brighton lebih bernasib baik apabila berpunca daripada sepakan percuma yang diambil Solly March, rakan sepasukannya, Lewis Dunk menanduk masuk bola ke gawang Liverpool untuk menyamakan kedudukan menjadi 2-2 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Liverpool kini berada di tangga ketiga liga, manakala Brighton hanya tiga tangga di bawah mereka.