KUALA LUMPUR: Kapten Harimau Malaya, Dion Cools mengakui, kekalahan kepada Tajiskitan dalam final Pestabola Merdeka 2023 kelmarin menjejaskan emosi pemain hingga ada antara mereka dihantui perasaan negatif dan keadaan bilik persalinan terlalu suram.
Bagaimanapun pertahanan Buriram United itu menegaskan, pemain tidak boleh terus dirundung kecewa sebaliknya mengambil pengajaran daripada perlawanan itu bagi memperbaiki kelemahan menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 bulan depan.
Katanya, pada ketika kelayakan Piala Dunia/Piala Asia sudah terlalu hampir dan akan berlangsung kurang sebulan dari sekarang, Harimau Malaya tidak boleh meratapi kekalahan.
“Ini persembahan seluruh pasukan, kita kalah bersama, kita menang juga bersama. Kebanyakan pemain sekarang berfikiran negatif dan kita tidak sepatutnya biarkan perkara itu.
“Banyak juga benda positif kerana kita mendominasi perlawanan sekali pun berdepan lawan ranking lebih tinggi.
“Apa yang lebih penting sekarang adalah kelayakan Piala Dunia bulan depan, kita perlu bersiap sedia,” katanya selepas skuad kebangsaan tewas 0-2 kepada Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Malaysia akan membuka kempen kelayakan Kumpulan D dengan menentang Kyrgyzstan di Bukit Jalil pada 16 November sebelum bertandang ke Taiwan, lima hari kemudian.
Sementara itu, seorang lagi pertahanan negara, Matthew Davies amat kecewa kerana tandukannya gagal menembusi gawang lawan sebelum tamat babak pertama.
“Kita ada peluang dan kualiti, cuma tidak dapat menyudahkan peluang, tidak ada rezeki dan tuah dalam perlawanan ini.
“Memang boleh perbaiki, ada aspek berbeza boleh diperbaiki tapi memang hari ini, kita kecewa. Nanti kita tengok balik perlawanan hari ini untuk lihat macam mana (permainan pasukan),” jelasnya.