Harimau Malaya kena kuat hadapi permainan 'fizikal' India

Harimau Malaya kena kuat hadapi permainan ‘fizikal’ India

PEMAIN Malaysia sudah melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi India dalam perlawanan Pestabola Merdeka di Bukit Jalil malam ini. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata, Malaysia perlu kuat dari minit pertama hingga ke-90 apabila berdepan India yang dijangka tampil dengan permainan fizikal dalam saingan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Kata Pan Gon, tugas berat menanti pasukan negara kerana menjangkakan mereka akan berdepan pasukan India yang lebih kuat, dibimbing oleh jurulatih dari Croatia Igor Stimac, dalam perlawanan yang akan dimainkan di padang yang baru dinaik taraf di rumah Harimau Malaya.

“Seperti yang kita semua tahu ranking mereka menghampiri 100 teratas (kedudukan 102) dan merupakan pasukan teratas di Asia Selatan. Mereka agresif dan benar-benar bekerja keras (di atas padang).

“Mereka gemar memburu, mengejar bola dan membuat sentuhan badan yang kuat (menentang lawan). Jadi, elemen seperti itu akan menjadi sangat sukar untuk pasukan lawan,” katanya.

KIM Pan Gon (tengah) dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya sudah merencanakan taktikal terbaik bertemu India.

Mengulas mengenai persiapan pasukan ketika ini, pengendali dari Korea Selatan berkata, semuanya berada dalam keadaan baik ketika ini kecuali Paulo Josue tidak dapat diturunkan dalam perlawanan tersebut kerana mengalami demam denggi.

“Kita ada seorang pemain yang sakit iaitu Paulo Josue yang demam denggi, jadi pasukan perubatan kami sedang memantau. Sukar untuk beliau untuk turun beraksi pada perlawanan esok, jadi kami tidak mahu mengambil risiko.

“Untuk pemain-pemain yang lain semuanya berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk diturunkan termasuk Stuart Wilkin juga sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan hamstring sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pan Gon juga percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk menghadirkan sesuatu dalam perlawanan malam ini biarpun ketua jurulatih India, Igor Stimac mahu melakukan kejutan pada perlawanan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN