Haaland tamatkan kemarau jaringan

Haaland tamatkan kemarau jaringan

ERLING Haaland menyempurnakan sepakan penalti ketika membantu Manchester City mengalahkan Young Boys dalam saingan Liga Juara-Juara di Bern.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERN, Switzerland: Tiba di Bern tanpa sebarang jaringan dalam lima aksi terakhir Liga Juara-Juara, Erling Haaland menamatkan kemarau dengan meledak dua gol ketika membantu juara bertahan, Manchester City menumpaskan Young Boys 3-1 awal pagi tadi.

Kemenangan itu melenyapkan kebimbangan pengendali City, Pep Guardiola terhadap keadaan rumput tiruan di Stadium Wankdorf yang dikhuatiri menjejaskan corak permainan pasukannya.

Dua gol Haaland dan satu jaringan menerusi Manuel Akanji memastikan The Citizens memenangi semua tiga perlawanan Kumpulan G, sekali gus menghampiri peringkat kalah mati.

Akanji meletakkan City di depan pada minit ke-48, namun Meschak Elia tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan buat tuan rumah, hanya empat minit berselang.

Haaland kembali meletakkan City di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-67 selepas Mohamed Ali Camara melakukan kekasaran terhadap Jack Grealish.

Empat minit sebelum tamat permainan, Haaland meledak gol ketiga The Citizens, jaringannya yang ke-37 daripada 33 penampilan di pentas elit Eropah.

MANUEL Akanji membuka jaringan Manchester City.

Ditanya mengenai prestasi Haaland, Guardiola berkata: “Ramai orang mahu dia gagal, saya minta maaf tetapi lelaki ini akan menjaringkan gol sepanjang hidupnya.

“Dengan peluang (kami cipta) dia adalah ancaman yang luar biasa.”

Kemenangan itu juga menaikkan motivasi City menjelang pertemuan derby menentang Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Ahad ini.

“Perlawanan derby itu penting dan United mempunyai banyak keyakinan selepas kemenangan semalam (menentang Copenhagen) dan ia sentiasa sukar di Old Trafford.

“Tetapi kami mempunyai masa untuk membuat persediaan dan kami akan membuat persediaan sebanyak mungkin,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN