RIO DE JANEIRO: Neymar berkata, dia sedang melalui detik ‘paling menyedihkan dan teruk’ dalam hidupnya selepas disahkan koyak anterior cruciate ligament (ACL) lutut kiri dan dijangka terpaksa berehat panjang.
Bintang penyerang Al Hilal itu mengalami kecederaan tersebut ketika membantu Brazil menentang Uruguay dalam kelayakan Piala Dunia 2026 kelmarin.
Selepas menjalani pembedahan semalam, Al Hilal dan Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) mengeluarkan kenyataan berasingan bahawa pemain itu perlu berehat panjang.
“Ia adalah masa yang sangat menyedihkan, paling teruk.
“Saya tahu saya kuat tetapi kali ini saya amat memerlukan keluarga dan rakan-rakan,” katanya dalam luahan penuh emosi di media sosial.
Tidak jelas berapa lama Neymar, 31, perlu berehat tetapi pemulihan untuk ACL koyak biasanya boleh mencecah lapan hingga 10 bulan.
“Brazil dan bola sepak dunia memerlukan Neymar sihat dan pulih, kerana bola sepak lebih gembira apabila dia berada di atas padang,” kata Presiden CBF, Ednaldo Rodrigues.
Penjaring terbanyak lelaki Brazil sepanjang zaman itu yang berpindah ke Arab Saudi pada musim panas dari Paris Saint-Germain (PSG), bergelut dengan kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dia terlepas dua aksi Piala Dunia di Qatar tahun lalu selepas cedera dalam perlawanan pembukaan menentang Serbia.
Dalam aksi di Montevideo kelmarin, Neymar terpaksa diusung keluar dan Brazil tewas 2-0 kepada tuan rumah. – AGENSI