Beckham jadi inspirasi Rice jaringkan gol jarak jauh

Beckham jadi inspirasi Rice jaringkan gol jarak jauh menentang Chelsea

Pemain Arsenal, Declan Rice melakukan rembatan kencang dari jarak jauh untuk gol pertama Gunners ketika seri 2-2 menentang Chelsea di Stamford Bridge semalam. (FOTO: AFP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemain tengah Arsenal, Declan Rice mendedahkan bahawa dia mendapat inspirasi untuk menjaringkan gol dari jarak jauh ketika menentang Chelsea semalam selepas menonton siri dokumentari legenda England, David Beckham yang kini sedang hangat di Netflix.

Bekas pemain sayap England itu pernah menjaringkan gol sensasi dari tengah padang ketika berdepan Wimbledon pada tahun 1996.

Mengambil ilham dari insiden itu, Rice cuba menaikkan semula semangat rakan sepasukannya dengan melakukan rembatan jarak jauh pada minit ke 77 dan ia berhasil untuk menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez untuk merapatkan jurang menjadi 1-2.

Gol tersebut menjadi pencetus kebangkitan Arsenal dengan Leandro Trossard berjaya memastikan kedudukan menjadi 2-2 enam minit sebelum perlawanan tamat.

Terdahulu, Chelsea yang beraksi di laman sendiri mendahului selesa 2-0 hasil sepakan penalti Cole Palmer dan Mykhailo Mudryk.

“Saya belum pernah menjaringkan gol seperti itu sebelum ini. Semua orang sedang memperkatakan siri dokumentari Beckham, dan saya saya baru sahaja menonton semalam dengan beberapa klip awal menunjukkan gol jarak jauhnya di Wimbledon.

“Saya terinspirasi dengan gol itu, saya ada terfikir untuk melakukan perkara sama. Saya baru sahaja menontonnya semalam dan hari ini saya berjaya melakukannya,” jelas Rice. 

Biarpun sekadar mencatatkan keputusan seri, pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji barisan pemainnya yang sekali lagi berjaya menampilkan kekuatan mental yang amat tinggi selepas ketinggalan 0-2 di gelanggang lawan.

Bagaimanapun Arsenal terpaksa akur apabila terlepas peluang untuk menerajui Liga Perdana Inggeris buat kali pertama musim ini, apabila berkongsi 21 mata dengan pendahulu, Manchester City yang hanya dibezakan dengan jaringan gol. 

“Walaupun kami ketinggalan terutamanya menerusi gol Mudryk, kami tetap meneruskan perjuangan dan para pemain melakukan seperti mana kami arahkan, iaitu jangan putus asa.

“Kami sepatutnya menjaringkan gol lebih awal, tetapi kami tidak berjaya. Apa pun kami masih mendapat satu mata selepas mengharungi satu perlawanan yang amat sukar,” kata Arteta.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya