LONDON: Virgil van Dijk menerima penggantungan tambahan ekoran kata-kata kesatnya terhadap pengadil ketika dibuang padang pada pertemuan dengan Newcastle United, bulan lalu.
Tonggak pertahanan dan kapten Reds itu turut didenda 100,000 pound (RM583,000) selepas mengaku telah bertindak dengan cara tidak wajar, kata Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris dalam satu kenyataan.
Van Dijk, 32, yang sebelum ini terlepas perlawanan menentang Aston Villa, minggu lalu, tidak dapat beraksi sekali lagi apabila Liverpool bertandang ke Wolverhampton, Sabtu depan.
Bintang Belanda itu dilayangkan kad merah kerana mengasari Alexander Isak pada babak pertama dan membantah keputusan pengadil, John Brooks sebelum keluar dari padang.
“Pemain pertahanan itu mengakui telah bertindak dengan cara tidak wajar dan menggunakan kata-kata kesat serta menghina terhadap pegawai perlawanan selepas dibuang padang pada minit ke-29.
“Sekatan kemudian dikenakan oleh suruhanjaya kawal selia bebas,” kata FA dalam kenyataan tersebut.
Van Dijk menerima penggantungan automatik ketika Reds menumpaskan Aston Villa 3-0 pada 3 September lalu. – AGENSI