LONDON: Mason Greenwood akhirnya menerima ‘talian hayat’ apabila bakal meneruskan kariernya bersama Getafe menerusi pinjaman.
Begitupun, Manchester United tidak akan menerima sebarang bayaran, sebaliknya menampung sebahagian besar gaji 75,000 pound (RM438,000) seminggu Greenwood sepanjang dia berada di Sepanyol.
Sejak Greenwood dibebaskan daripada tuduhan merogol dan serangan seksual terhadap bekas teman wanitanya, tiada mana-mana kelab di England berani mengambil penyerang berusia 21 tahun itu.
United sendiri menerima kecaman dari pelbagai sudut apabila mereka bercadang mengekalkan Greenwood, pemain berbakat yang menampilkan prestasi hebat sebelum khidmatnya digantung pada Januari 2022 kerana kes mahkamah yang dihadapi.
Getafe yang kini berada di kedudukan pertengahan La Liga mencapai persetujuan pada saat akhir iaitu beberapa minit sebelum jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris ditutup semalam.
“Langkah ini membolehkan Greenwood kembali membina kariernya dari Manchester United. Kelab ini akan terus menawarkan sokongan kepada Greenwood dan keluarganya dalam tempoh peralihan ini,” kata United dalam satu kenyataan.
Greenwood masih mempunyai kontrak dua tahun bersama United, jadi dia perlu membuktikan kemampuan di Sepanyol jika ingin kembali ke Old Trafford. – AGENSI