PETALING JAYA: Terjun yang membuka kempen Sukan Asia di Hangzhou hari ini menghadiahkan sebutir pingat gangsa menerusi gandingan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita hari ini.
Pandelela-Dhabitah melengkapkan lima terjunan dengan mengumpul 266.94 mata, jauh ditinggalkan oleh gandingan juara Olimpik dan dunia, Quan Hongchan-Chen Yuxi dari China yang merangkul emas menerusi 375.50 mata.
Pasangan Jepun, Matsuri Arai-Minami Itahashi dengan catatan 290.04 mata keseluruhan membawa pulang perak.
Pandelela-Dhabitah yang meraih gangsa acara tersebut pada Kejohanan Dunia di Budapest, tahun lalu jatuh ke kedudukan ketiga pada terjunan kedua sebelum tergelincir ke tempat keempat dalam dua terjunan seterusnya.
Pasangan penerjun senior itu bernasib baik apabila terjunan terakhir memadai untuk melonjakkan mereka kembali ke kedudukan ketiga, mengatasi gandingan Korea Selatan, Nayun Moon-Eunbi Cho yang jatuh ke tangga keempat (263.49 mata).
Ini kali ketiga berturut-turut skuad terjun negara meraih pingat gangsa dalam 10m platform seirama wanita selepas edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dan 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Pencapaian terbaik negara untuk acara berkenaan adalah pingat perak dimenangi Pandelela ketika bergandingan dengan Datuk Leong Mun Yee sewaktu edisi 2010 di Guangzhou, China. – UTUSAN ONLINE